StudyMalaysia.com

Contact Us Contact Us
Education News

Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) Yang Baharu

June 1, 2020 | National News

Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) ingin memaklumkan bahawa YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini bin Omar telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MQA yang baharu berkuat kuasa 1 Jun 2020. Pelantikan ini bagi menggantikan YBhg. Dato’ Prof. Emeritus Dr. Rahmah binti Mohamed yang telah tamat kontrak perkhidmatan.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini bin Omar yang dilahirkan pada 10 Mac 1963 di Kelantan merupakan seorang pakar Geologi Kejuruteraan. Beliau berkelayakan ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Geologi) dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 1988, Ijazah Sarjana Kejuruteraan Geologi dari University of Leeds, United Kingdom pada tahun 1994, dan Doctor of Engineering (System Engineering) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2002.

Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) Yang Baharu

Mempunyai pengalaman industri selama 8 tahun sebagai jurutera geologi, beliau memulakan karier sebagai pensyarah universiti di Fakulti Kejuruteraan UPM pada tahun 1996 sebagai pensyarah, sebelum dinaik pangkat ke jawatan Profesor Madya pada tahun 2002, dan seterusnya ke jawatan 2 Profesor pada tahun 2011. Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan dari tahun 2002 sehingga 2006, Pengarah Pusat Perniagaan Universiti dari tahun 2006 sehingga 2009 dan Pengarah Urusan UPM Holdings dari tahun 2009 sehingga 2017. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM pada 15 Februari 2017 sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 Januari 2018 sehingga 6 Januari 2019.

Beliau telah menerbitkan lebih 200 penerbitan dalam bentuk jurnal, prosiding, buku, bab dalam buku, dan dalam bentuk laporan teknikal hasil dari penyelidikan yang dijalankan. Beliau dan kumpulannya juga telah menyelia lebih 20 orang pelajar pasca siswazah dan terdapat hasil penyelidikan beliau yang telah dipatenkan di Amerika Syarikat dan Malaysia.

Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar mendapat beberapa pengiktirafan dan pencapaian di dalam dan luar negara. Antaranya, di dalam negara beliau merupakan penerima Anugerah Saintis Muda Negara pada tahun 2000, Anugerah Belia Negara, Pemenang Pingat Emas International Technology Expo. Manakala di peringkat antarabangsa beliau menerima Pingat Emas WIPO dari World Intellectual Property Organization’s (WIPO) Geneva (2000) dan Pingat Emas dari INPEX USA (2001). Pada tahun 2003, beliau mendapat anugerah Feloship Naib Canselor UPM dan tersenarai dalam Marquis Who’s Who in Science and Engineering untuk penerbitan tahun 2003-2004. Atas sumbangannya kepada Ekspo Teknologi Malaysia, The Malaysian Association of Research Scientists menganugerahkannya The MARS Service Award pada tahun 2011.

Beliau juga merupakan Panel Juri Antarabangsa bagi Intel International Science and Engineering Fair (Intel-ISEF) di USA dari tahun 2002 sehingga sekarang dan merupakan Pengerusi Intel-ISEF Scientific Review Committee 3 (SRC) bagi chapter Malaysia untuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan merupakan Pengerusi Panel Hakim Tetap Tunas Saintis MRSM.

Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar adalah Felo, The Geological Society of London, Ahli Persatuan International Association of Engineering Geology (IAEG), Paris, dan Ahli Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MSeT).

Pada tahun 2018, beliau telah dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Kelantan (D.P.M.K) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra, Sultan Kelantan sempena hari keputeraan baginda. Terdahulu beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (P.S.K) oleh KDYMM Sultan Kelantan pada tahun 2012.

Pada tahun 2016, beliau telah dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor Yang Amat Mulia (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor sempena hari keputeraan baginda.

Pihak MQA merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar di atas pelantikan beliau dan yakin beliau mampu menyuntik aspirasi yang diperlukan oleh agensi dan memacu transformasi MQA ke arah pencapaian visi sebagai agensi berautoriti global dalam kelayakan dan jaminan kualiti pendidikan tinggi.

Back to News Page

View Other categories: NATIONAL | CAMPUS | ACHIEVEMENT | EDITOR'S DESK

Download FREE myCourseGuide
马来西亚的高等教育机会